Pemilik rumah terapung 'Pokwe' meninggal dunia


KEMAMAN, 7 Mei 2026: Sosok lelaki yang pernah mencuri perhatian ramai dengan idea unik membina rumah terapung ketika musim banjir, A Bakar Che Ahmad, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Tebak, di sini pada Rabu.

Allahyarham yang lebih mesra dipanggil Pokwe menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun kira-kira jam 1.45 tengah hari di sisi ahli keluarganya.

Anak sulungnya, Kamaruddin, 43, berkata, bapanya sebelum ini menghidap kanser hempedu dan menerima rawatan di Hospital Kemaman serta Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Menurutnya, arwah baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah tiga hari lalu selepas hampir dua minggu menerima rawatan di hospital.

“Kesihatan ayah semakin merosot selepas balik rumah. Pagi tadi nampak masih okay, tapi menjelang tengah hari dia mula tak beri tindak balas sebelum menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebak, petang Rabu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 6.20 petang dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga dan kenalan rapat yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Nama Pokwe mula menjadi perhatian ramai pada penghujung tahun 2022 apabila kisah rumah terapung binaannya tular di media sosial.

Rumah unik seluas kira-kira 70 kaki persegi itu dibina menggunakan 102 tong plastik bagi membolehkannya terapung ketika banjir melanda.

Idea berkenaan tercetus selepas Allahyarham berjaya membina reban ayam terapung pada tahun 2019.

Bekas pemandu lori itu sebelum ini pernah berkongsi bahawa rumah rakit tersebut dibina kerana kediamannya berada di kawasan rendah yang sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.

Kini, insan di sebalik idea kreatif yang pernah mengagumkan ramai itu pergi meninggalkan kenangan dan kisah luar biasa buat masyarakat.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan