KUALA NERUS – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengambil langkah proaktif memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi menerusi penubuhan Akademi Elit Bola Sepak Terengganu PBSNT 2026 susulan penstrukturan semula Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Timbalan Presiden PBSNT, Dato’ Rosli Latiff berkata, akademi yang mula beroperasi awal tahun ini diwujudkan bagi memastikan pembangunan bakat muda negeri terus berjalan secara tersusun dan kompetitif.
Menurut beliau, akademi itu dilaksanakan hasil kerjasama PBSNT, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi melahirkan pemain berkualiti yang mampu mewakili negeri serta negara pada masa depan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran dan Penyerahan Jersi Akademi Elit Bola Sepak Terengganu PBSNT 2026 di Dataran Ilmu SK Bukit Tok Beng, hari ini.
Rosli memaklumkan, semua pemain yang terpilih ke akademi berkenaan merupakan hasil tapisan bakat muda dari seluruh daerah di Terengganu sebelum ditempatkan di SK Bukit Tok Beng dan Sekolah Menengah Ibrahim Fikri yang mempunyai fasiliti lengkap termasuk asrama serta padang latihan.
Katanya, cabaran terbesar ketika ini adalah aspek kewangan bagi memastikan pembangunan akademi dapat diteruskan secara berterusan selain membina pasukan yang benar-benar kompetitif.
Tambah beliau, Akademi Elit Bola Sepak Terengganu PBSNT turut mengekalkan modul latihan sama seperti yang digunakan dalam program NFDP sebelum ini.
