Pemandu Lori Ditahan Guna Permit Palsu Beli Petrol Bersubsidi


SETIU, 24 Mei 2026: Seorang pemandu lori ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas disyaki menggunakan permit palsu untuk membeli petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Merang, pagi semalam.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi ketika sedang mengisi petrol ke dalam dua tong berkapasiti 500 liter bernilai sekitar RM1,600.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, pemeriksaan menemukan lapan permit khas pembelian petrol dan diesel dipercayai digunakan suspek.

Menurut beliau, kegiatan itu terbongkar selepas pihak KPDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan risikan menerusi Ops Tiris susulan suspek didakwa melakukan pengisian petrol secara berulang setiap hari sejak dua minggu lalu.

“Siasatan awal mendapati suspek membuat pembelian tiga hingga empat kali sehari menggunakan permit yang ditinggalkan di stesen minyak. Dia hanya perlu mengangkat tangan sebagai isyarat kepada pekerja stesen minyak untuk urusan pengisian,” katanya.

KPDN turut menyita sebuah lori dan dua tong minyak dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM46,800.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan