SETIU, 18 Mei 2026: Jawatankuasa Penimbangan Kebajikan Daerah Setiu menjelaskan pondok daif yang tular di media sosial di Kampung Padang Saujana, Permaisuri bukan kediaman tetap pasangan suami isteri yang dikaitkan sebagai miskin tegar.
Pengerusinya, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, hasil semakan mendapati pondok tersebut hanyalah tempat tinggal sementara digunakan pasangan berkenaan ketika mengusahakan tanaman di kawasan kebun terbabit.
Menurut beliau, tanah itu merupakan tanah sewaan milik Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC), manakala alamat tetap pasangan terbabit sebenarnya berada di Kampung Alor Selising, Besut.
“Pasangan itu tidak menetap secara kekal di pondok berkenaan seperti yang digambarkan dalam video tular,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima laporan dibentangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid dalam mesyuarat Jawatankuasa Penimbangan Kebajikan Daerah Setiu.
Tambah Dr. Azman, pasangan tersebut turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Besut bagi urusan persekolahan anak mereka.
Terdahulu, rakaman video memaparkan keadaan pondok usang di tengah kebun tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen.
Tags
DALAM NEGERI
