KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026: Peminat bola sepak tempatan bakal menikmati tayangan penuh FIFA World Cup 2026 menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV hasil kerjasama dengan Unifi, CelcomDigi dan U Mobile.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kesemua 104 perlawanan akan disiarkan menerusi RTM dan Unifi TV bagi memberi akses lebih luas kepada rakyat untuk mengikuti kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
Menurutnya, langkah tersebut juga membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan kandungan berkualiti selain menjadikan sukan sebagai medium perpaduan rakyat.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail berkata, kerjasama bersama penaja korporat membantu mengurangkan kos kerajaan bagi mendapatkan hak siaran kejohanan berprestij itu.
Selain RTM dan Unifi TV, siaran Piala Dunia 2026 turut boleh ditonton menerusi platform MyTV dan RTM Klik.
Edisi 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dengan aksi pembukaan dijadual bermula pada 11 Jun di Mexico City manakala final berlangsung di New Jersey pada 19 Julai.
Tags
NASIONAL
