KUALA TERENGGANU, 14 Mei 2026: Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) turun padang menyantuni peniaga di tingkat atas Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam usaha mencari kaedah menghidupkan semula kawasan yang pernah menjadi tumpuan ramai suatu ketika dahulu.
Program sempena Hari Pekerja 2026 itu diadakan menerusi majlis ramah mesra dan jamuan makan tengah hari bersama peniaga yang masih menjalankan perniagaan di lokasi berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, pertemuan itu menjadi ruang untuk mendengar sendiri pandangan serta masalah dihadapi peniaga.
Menurutnya, kawasan stesen bas tersebut mempunyai nilai nostalgia tersendiri kepada warga Kuala Terengganu sejak operasi berpindah dari stesen bas lama pada tahun 1994.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti beberapa cadangan termasuk menganjurkan acara khas atau program tahunan bagi menarik kembali kehadiran orang ramai ke kawasan itu.
Katanya, kerjasama semua pihak termasuk peniaga dan MBKT penting bagi memastikan kawasan berkenaan kembali meriah seperti dahulu.
Tags
DALAM NEGERI
