Wang dalam akaun lesap; mahkamah arah Maybank bayar wanita RM166,000.00


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen mengarahkan Maybank membayar pampasan sebanyak RM166,000 kepada seorang wanita selepas didapati gagal menghalang transaksi perbankan dalam talian mencurigakan yang menyebabkan wang dalam akaunnya lesap.


Hakim Maimoonah Aid memutuskan pihak bank cuai selepas beberapa transaksi pemindahan wang tanpa kebenaran dilakukan menggunakan akaun perbankan dalam talian milik wanita berusia 47 tahun itu pada tahun 2021.


Berdasarkan dokumen mahkamah, wang berkenaan mula dikeluarkan daripada akaun pinjaman perumahan plaintif, Chan Yan Li, sebelum dipindahkan ke akaun simpanannya dan seterusnya dihantar secara berperingkat ke beberapa akaun pihak ketiga antara 26 Jun hingga 2 Julai 2021.


Plaintif hanya menyedari transaksi tersebut pada 15 Julai tahun sama selepas memeriksa akaun Maybank2u miliknya sebelum membuat laporan polis.


Chan memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah meluluskan transaksi berkenaan dan tidak menerima sebarang mesej Kod Pengesahan Transaksi (TAC) pada nombor telefon berdaftar miliknya.


Bagaimanapun, Maybank menafikan berlaku kecuaian dengan mendakwa semua transaksi dilakukan menggunakan nama pengguna dan kata laluan plaintif yang betul, selain TAC dan notifikasi transaksi berjaya dihantar ke telefon bimbit berdaftar.


Pihak bank turut berhujah bahawa sistem Maybank2u tidak menghadapi sebarang masalah serta mencadangkan maklumat perbankan plaintif mungkin terdedah akibat kecuaian dirinya sendiri.


Namun, hakim memaklumkan Chan bukan pengguna aktif perbankan dalam talian dan kebiasaannya hanya menggunakan Maybank2u untuk urusan mudah seperti pembayaran kad kredit atau pemindahan wang sekali-sekala.


Mahkamah turut mendapati terdapat ketidakselarasan antara rekod TAC yang dikemukakan pihak bank dengan rekod telefon daripada Digi yang dibentangkan sepanjang perbicaraan.


Selain itu, corak transaksi yang berlaku juga dianggap luar biasa dan sepatutnya mencetuskan amaran kepada pihak bank.


“Bank seharusnya sentiasa berwaspada. Bank mempunyai teknologi terbaik pada masa kini untuk mengesan dan menghalang transaksi tidak sah serta penipuan.


“Sebahagian transaksi juga dilakukan pada waktu tidak munasabah termasuk sekitar jam 5 pagi,” katanya dalam alasan penghakiman bertarikh 4 Mei lalu.


Mahkamah turut mengambil kira beberapa pemegang akaun keldai yang dikaitkan dengan transaksi tersebut telah mengaku bersalah dalam kes jenayah berasingan.


Selain pampasan RM166,000, pihak bank turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM15,000 kepada plaintif.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan