Shah, Azizulhasni hadiahkan podium berganda buat Malaysia di Jepun


KUALA LUMPUR: Bintang berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom dan Azizulhasni Awang sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila menghadiahkan podium berganda buat Malaysia dalam acara keirin lelaki di Kejohanan Japan Track Cup di Velodrom Izu, Shizuoka, pada Jumaat.

Shah yang baru kembali daripada kecederaan mempamerkan kayuhan meyakinkan apabila meraih pingat perak selepas menamatkan perlumbaan di belakang pelumba tuan rumah dan juara Sukan Asia 2022, Kaiya Ota.

Sementara itu, Azizulhasni meneruskan aksi konsisten apabila memenangi pingat gangsa untuk melengkapkan kedudukan podium dalam perlumbaan berintensiti tinggi tersebut.

Keputusan itu menjadi petanda positif buat Shah yang semakin menemui semula rentak terbaiknya selepas menjuarai acara keirin di Indonesia Track Cup minggu lalu.

Terdahulu, Shah mencuri tumpuan apabila memenangi saringan ketiga pusingan pertama, mengatasi pelumba Jepun, Minato Nakaishi dan wakil China, Li Zhiwei.

Azizulhasni turut mempamerkan kayuhan cemerlang apabila menjuarai saringan keempat untuk memastikan kedua-dua pelumba negara mara selesa ke pusingan seterusnya.

Dalam pusingan kedua, Shah meneruskan prestasi memberangsangkan apabila menjuarai saringan kedua mengatasi Ryoya Mikami dan Ota, manakala Azizulhasni menamatkan saingan di tempat ketiga bagi saringan pertama.

Untuk rekod, Azizulhasni sebelum ini memenangi pingat emas acara keirin pada pusingan akhir Piala Dunia Berbasikal Trek di Velodrom Nasional Nilai pada April lalu, manakala Shah turut meraih emas dalam acara sama di Indonesia Track Cup di Jakarta minggu lalu.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan