Terengganu mahu siapkan 140 tukun sebelum musim tengkujuh


KUALA TERENGGANU, 16 Mei 2026: Kerajaan Negeri Terengganu mempergiatkan usaha menyiapkan 140 unit tukun tiruan menerusi projek 'The Making of Tukun Terengganu' bagi memastikan ia dapat dilabuhkan sebelum bermulanya musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, kerja-kerja pembuatan tukun kini sedang giat dijalankan tanpa henti termasuk pada waktu malam.

Menurut beliau, sasaran utama adalah memastikan kesemua tukun berkenaan siap dan dilabuhkan selewat-lewatnya pada Oktober bagi mengelakkan gangguan cuaca buruk serta keadaan laut bergelora.

“Kerja sedang berjalan siang dan malam bagi memastikan 140 unit tukun dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh. Oktober adalah garis akhir program labuh tukun,” katanya.

Tambah beliau, bagi tahun ini pelaksanaan projek tersebut melibatkan tujuh daerah pesisir pantai dengan agihan sekitar 20 unit tukun bagi setiap daerah.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti nelayan termasuk meningkatkan kawasan pembiakan hidupan laut serta memperkukuh keterjaminan makanan negeri.

Projek berkenaan turut dilihat sebagai antara usaha pemuliharaan marin terbesar di Terengganu, selain berpotensi menjadikan perairan negeri itu lebih produktif menjelang musim Monsun Timur Laut.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan