PASIR PUTEH, 19 Jun 2026: Misteri kehilangan puluhan lembu milik penduduk sekitar Bachok akhirnya terungkai apabila polis menemui 32 ekor ternakan yang disembunyikan dalam kebun kelapa sawit awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, operasi khas antara jam 3 hingga 4 pagi itu membawa kepada penahanan lima suspek termasuk seorang wanita di Kampung Telong dan Cherang Sepulai.
Hasil serbuan, polis menemukan kesemua lembu berkenaan di Kampung Gong Nyatoh dalam keadaan ditambat pada pokok kelapa sawit menggunakan tali.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati ternakan tersebut dipercayai milik penduduk kampung yang sebelum ini membuat laporan kehilangan lembu. Proses pengesahan pemilik kini sedang dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, manakala polis turut menyiasat rangkaian dan modus operandi kumpulan terbabit.
