KUALA TERENGGANU, 19 Jun 2026: Nama Bojan Hodak dan Nafuzi Zain dilaporkan antara calon utama yang sedang dipertimbangkan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.
Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), kedua-dua jurulatih berpengalaman itu berada dalam senarai pendek pengurusan, namun keputusan muktamad masih belum dibuat.
Katanya, proses penilaian dan perbincangan masih berlangsung melibatkan beberapa calon sebelum pengumuman rasmi dibuat selewat-lewatnya pada awal bulan depan.
“Bojan Hodak dan Nafuzi Zain antara nama yang sedang dipertimbangkan untuk membimbing TFC pada musim baharu.
“Bagaimanapun, keputusan akhir belum dimuktamadkan kerana jawatankuasa berkaitan masih meneliti beberapa aspek sebelum membuat ketetapan,” katanya.
Sumber itu turut memaklumkan pihak pengurusan menunggu kepulangan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim yang kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji sebelum sebarang keputusan diumumkan.
Terdahulu, Nafuzi mengumumkan pengundurannya sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan selepas hampir dua tahun mengemudi pasukan tersebut.
Sepanjang tempoh itu, pencapaian terbaik beliau adalah membantu Malaysia meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Sekiranya kembali membimbing TFC, pelantikan itu boleh dianggap sebagai kepulangan semula ke pasukan yang pernah dibentuknya sebelum ini. Nafuzi pernah mengendalikan skuad Penyu dari 2020 hingga 2023 dan berjaya membawa pasukan itu ke pentas akhir Piala FA serta Piala Malaysia, selain mencipta penampilan kompetitif di peringkat Asia.
Dalam masa sama, penyokong TFC berharap jurulatih baharu yang bakal dilantik mampu mengembalikan pasukan ke landasan kejayaan selepas sekadar menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga kelima serta gagal mencabar kejuaraan dalam saingan piala domestik.
