Beza usia bukan penghalang, lelaki 27 tahun bahagia bersama isteri 64 tahun


JELEBU, 18 Jun 2026: Perbezaan usia 37 tahun tidak menjadi penghalang buat pasangan ini untuk mencari kebahagiaan dan membina masa depan bersama.

Pasangan berkenaan, Muhd Sabri Razaman, 27, dan Norlida Muhammed Salleh, 64, mendirikan rumah tangga di Jelebu, Negeri Sembilan enam tahun lalu.

Menurut Muhd Sabri, perkenalannya dengan Norlida bermula ketika dia berusia 19 tahun. Pada ketika itu, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan dan sering berkunjung ke pasar mini tempat Norlida bekerja.

Selepas berkawan selama dua tahun, Muhd Sabri mula menaruh hati terhadap Norlida sebelum berhasrat untuk memperisterikan wanita itu.

“Isteri bersetuju, namun selepas kami memaklumkan kepada keluarga, ada yang sukar menerima keputusan tersebut. Bagaimanapun, saya tetap dengan pendirian kerana percaya ia adalah jodoh yang telah ditentukan.

“Ketika itu saya baru berusia 21 tahun, namun sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang suami,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 2020, sekali gus menyaksikan Muhd Sabri menjadi suami kepada seorang ibu enam anak dan nenek kepada lapan cucu.

Menurutnya, keluarga Norlida menerima kehadirannya dengan baik termasuk anak-anak tirinya, malah ada antara mereka yang lebih berusia daripadanya.

Muhd Sabri berkata, dia juga rapat dengan cucu-cucu isterinya dan bersyukur kerana dapat bergelar datuk pada usia muda.

“Setakat ini hubungan kami dengan seluruh keluarga sangat baik dan tidak pernah timbul sebarang perselisihan. Malah, saya dan isteri juga tidak pernah bergaduh.

“Walaupun usia saya jauh lebih muda, saya tidak pernah bergantung kepada wang isteri. Saya bekerja siang dan malam kerana sedar menjadi tanggungjawab suami untuk mencari nafkah dan menyara keluarga.

“Saya berjanji akan menjaga isteri sehingga ke akhir hayat dan tidak akan meninggalkannya,” katanya.

Sementara itu, Norlida mengakui dia tidak pernah menyangka akan berkahwin semula selepas bercerai pada 2016.

Namun, katanya, dia menerima ketentuan Allah SWT yang mempertemukannya dengan seorang lelaki yang 37 tahun lebih muda daripadanya.

“Pada mulanya saya hanya mengambil berat tentang dirinya dan menganggapnya seperti anak sendiri. Namun lama-kelamaan, hubungan kami berubah menjadi pasangan hidup.

“Apabila dia melamar saya, saya memintanya menguruskan segala persiapan sendiri dan dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Dari situ saya nampak keikhlasannya.

“Ada yang mengatakan dia gila kerana mahu berkahwin dengan saya, tetapi dia tetap teguh dengan keputusannya,” katanya.

Menurut Norlida, walaupun suaminya jauh lebih muda, Muhd Sabri seorang yang matang, penyayang, bertanggungjawab dan sangat memahami dirinya.

“Saya mempercayainya sepenuhnya sehingga tidak pernah berasa perlu untuk memeriksa telefon bimbitnya.

“Saya pernah mencadangkan supaya dia berkahwin lagi, namun dia menolak. Kami juga pernah berbincang mengenai soal zuriat, tetapi suami berkata jika ada rezeki, mungkin kami akan bertemu anak-anak di syurga nanti,” katanya.

Norlida berharap dapat terus membahagiakan suaminya dan sentiasa berdoa agar rumah tangga mereka kekal bahagia serta diberkati.

Diterjemah: weirdkaya

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan