“Dah larang, dah berpalang, tapi masih ada yang degil nak lalu juga..”


KUALA TERENGGANU, 19 Jun 2026: Walaupun pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan termasuk penguatkuasaan larangan dan pemasangan palang penghadang besi di laluan masuk Drawbridge, masih terdapat segelintir pemandu yang berdegil dengan mengabaikan had ketinggian serta papan tanda amaran yang disediakan.

Sehinggalah berlakunya satu insiden kemalangan apabila sebuah lori melanggar palang penghadang had ketinggian di laluan masuk Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) pada 18 Jun lalu sehingga menyebabkan struktur palang tersebut mengalami kerosakan.

Pihak pengurusan Drawbridge memaklumkan, had ketinggian maksimum yang dibenarkan bagi semua kenderaan menggunakan jambatan itu ialah 3.5 meter dan mana-mana kenderaan yang melebihi had tersebut tidak dibenarkan melalui laluan berkenaan.

Menurut kenyataan pihak pengurusan, pematuhan terhadap had ketinggian amat penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, melindungi infrastruktur Drawbridge serta memastikan operasi jambatan berjalan lancar.

Susulan kejadian itu, pihak pengurusan sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden dan menilai tahap kerosakan sebelum kerja pembaikan serta penggantian palang dilaksanakan.

Pemandu kenderaan berat diingatkan supaya menyemak dimensi kenderaan masing-masing sebelum memasuki kawasan Drawbridge dan menggunakan laluan alternatif seperti Jambatan Sultan Mahmud atau Jambatan Manir sekiranya melebihi had ketinggian yang ditetapkan.

Untuk rekod, larangan penggunaan Drawbridge bagi kenderaan yang melebihi had ketinggian 3.5 meter berkuat kuasa sejak 1 Januari 2026. 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan