Sekatan jalan raya dikurangkan, JPJ perluas penguatkuasaan secara digital


KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan penggunaan penguatkuasaan digital bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan mengurangkan kebergantungan terhadap sekatan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pendekatan baharu itu melibatkan penggunaan teknologi kamera pada kenderaan peronda yang mampu mengesan pelbagai kesalahan jalan raya secara automatik dan digital.

Menurut beliau, sistem berkenaan dilengkapi kamera berdefinisi tinggi (HD) serta fungsi zum yang membolehkan imej pemandu dirakam dengan lebih jelas.

"Pelbagai ciri dan fungsi baharu juga akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan lagi sistem penguatkuasaan sedia ada," katanya pada sesi taklimat khas media mengenai Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025, di sini, hari ini.

Anthony berkata, pelaksanaan teknologi tersebut turut membolehkan penggunaan anggota penguat kuasa dioptimumkan tanpa memerlukan pertambahan besar tenaga kerja.

Beliau menjelaskan, kamera berkenaan disokong integrasi dengan pangkalan data sedia ada serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan proses pengesanan dan tindakan penguatkuasaan.

"AI akan mengesan dan menyemak nombor pendaftaran kenderaan secara automatik. Melalui integrasi dengan sistem MySikap yang menyimpan pelbagai data berkaitan kenderaan, kami dapat mengenal pasti sama ada sesebuah kenderaan mempunyai perlindungan insurans yang sah, cukai jalan yang masih berkuat kuasa dan maklumat pendaftaran yang tepat.

"Sistem ini juga mampu membuat padanan antara nombor pendaftaran dengan jenis serta warna kenderaan," katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi itu akan diperluaskan secara berperingkat dan dijangka diperkukuhkan mulai tahun depan menerusi pelaksanaan teknologi pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR).

Selain itu, transformasi digital JPJ turut merangkumi peluasan penggunaan dokumen elektronik dan penyampaian notis secara digital, di samping memperketat tindakan terhadap pihak yang mengemukakan maklumat atau dokumen palsu kepada pihak berkuasa.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan