Empat rumah hangus terbakar, 23 penghuni berputih mata tinggal sehelai sepinggang


KUALA TERENGGANU, 19 Jun 2026: Seramai 23 penghuni termasuk empat orang kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang selepas empat rumah di Kampung Hiliran, Chabang Tiga terbakar dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Kebakaran membabitkan empat keluarga itu menyebabkan kebanyakan harta benda tidak sempat diselamatkan apabila api merebak dengan pantas. Bagaimanapun, semua mⱄngsa dilaporkan selamat.

Salah seorang penghuni, Mohd Ridwan Ali, 42, berkata dia menerima berita rumahnya terbakar ketika dalam perjalanan mengambil anaknya di sekolah sebelum segera berpatah balik ke lokasi.

"Saya hanya sempat menyelamatkan sebuah tong gas sebelum keluar semula demi keselamatan diri," katanya.

Seorang lagi penghuni, Nasir Yaakob, 56, berkata orang ramai cuba membantu mengeluarkan barangan dari rumah yang terjejas, namun usaha itu gagal kerana api marak terlalu cepat.

Hairulfiza Mat Akil, 44, pula berkata dia hanya menyedari kejadian selepas dimaklumkan suaminya ketika berada di dalam bilik. Mereka kemudian segera keluar dari rumah tanpa sempat menyelamatkan sebarang harta benda.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, seramai 20 anggota dari BBP Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota dikerahkan ke lokasi bagi operasi pemadaman.

Menurutnya, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk tiba ke lokasi berikutan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak, namun kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 33 minit.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan