‎Impi jadi Guru, Nurul Atiqah hadiahkan 5A STPM buat Ibu


MARANG, 19 Jun 2026: Kecekalan seorang ibu tunggal membesarkan empat anak akhirnya dibalas dengan kejayaan apabila Nurul Atiqah Syakirah Amran, 20, memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan STPM yang diumumkan semalam.

Pelajar SMK Bukit Sawa itu berkata, kesusahan yang dilalui ibunya, Fatimah Mat Yassin, 52, yang bekerja sebagai tukang cuci menjadi pendorong utama untuk dia memberi tumpuan penuh terhadap pelajaran.

Menurut Nurul Atiqah, dia percaya pendidikan mampu mengubah kehidupan keluarga dan menjadi jalan terbaik untuk membalas pengorbanan ibunya yang membesarkan mereka selepas kemⱥtian suami akibat COVID-19.

"Pelajaran dapat mengubah kehidupan selain bertawakal sepenuhnya kepada rezeki yang ditentukan oleh Allah SWT," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM Terengganu di SMK Bukit Sawa.

Anak ketiga daripada empat beradik itu turut menggunakan Google, YouTube dan pelbagai aplikasi pembelajaran sebagai rujukan ketika mengulang kaji di rumah. Keputusan 5A yang diraih dianggap pencapaian membanggakan selepas hanya memperoleh 3A dalam peperiksaan SPM sebelum ini.

Nurul Atiqah yang bercita-cita menjadi guru dijadual menghadiri sesi temu duga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi mengikuti jurusan Pendidikan Geografi.

Sementara itu, Fatimah berkata dia amat terharu dengan kejayaan anaknya yang disifatkan sebagai hasil kesungguhan dan usaha berterusan walaupun keluarga berdepan pelbagai cabaran hidup.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan