Suami Pemilik Dompet Nafi Reka Cerita, Jelaskan Punca Bawa Tunai RM10,000


KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026: Tular di media sosial sejak semalam satu video memaparkan pertikaian antara seorang lelaki dan pasangan warga China berhubung dakwaan kehilangan wang tunai RM10,000 daripada sebuah dompet, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Rata-rata netizen dilihat memihak kepada lelaki terbabit dengan alasan tidak masuk akal seseorang yang berniat mencuri sanggup membawa sendiri dompet yang ditemui ke balai polis untuk diserahkan kepada pihak berkuasa. Namun, sebahagian pengguna media sosial turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang kesimpulan sehingga siasatan polis selesai.

Susulan kontroversi itu, suami kepada pemilik dompet yang dikenali sebagai CJ tampil mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kronologi kejadian serta menjawab pelbagai persoalan yang dibangkitkan.

Menurut CJ, wang tunai RM10,000 yang didakwa hilang itu dikumpulkan secara berperingkat dalam tempoh kira-kira 15 hari selepas memanfaatkan kadar pertukaran Ringgit Malaysia dan Yuan China yang dianggap menguntungkan. Wang tersebut, katanya, disimpan dalam satu dompet untuk kegunaan harian dan tidak diasingkan.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika mereka membeli-belah di CLC Supermarket, Semenyih apabila isterinya secara tidak sengaja tertinggal dompet di atas peti sejuk beku aiskrim.

Menyedari dompet itu hilang, mereka segera meminta pihak pasar raya menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Berdasarkan rakaman tersebut, CJ mendakwa seorang kanak-kanak mengambil dompet berkenaan sebelum menyerahkannya kepada ibunya sejurus selepas isterinya meninggalkan kawasan itu.

Beliau mendakwa keluarga berkenaan kemudian bergegas ke kaunter pembayaran sebelum meninggalkan pasar raya dalam keadaan tergesa-gesa.

Menurutnya, rakaman CCTV dan nombor pendaftaran kenderaan terbabit kemudian diserahkan kepada polis sebelum pemilik kenderaan berkenaan dihubungi bagi memulangkan dompet tersebut.

Kira-kira setengah jam kemudian, lelaki terbabit hadir ke balai polis bersama dompet itu, namun memaklumkan tiada lagi wang tunai di dalamnya. Rakaman pertikaian yang berlaku di balai polis selepas itu kemudiannya tular di media sosial.

Dalam kenyataan sama, CJ turut menolak pelbagai dakwaan netizen yang mempertikaikan cerita mereka, termasuk persoalan mengapa mereka membawa wang tunai RM10,000 serta dakwaan bahawa mereka sengaja mereka cerita sehingga lelaki yang memulangkan dompet dilihat sebagai mangsa.

Beliau berkata keluarganya sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang Malaysia serta menghargai layanan baik rakyat negara ini, namun mengakui sedih dan kecewa dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka.

Pada masa sama, beliau memaklumkan video asal yang meraih lebih sejuta tontonan telah dijadikan private buat sementara waktu kerana siasatan masih berjalan dan rakaman CCTV penuh tidak boleh didedahkan sehingga siasatan selesai.

Sebelum ini, lelaki yang memulangkan dompet berkenaan mendakwa dia hanya berniat membantu selepas menemui dompet itu dan menafikan mengambil wang tunai seperti didakwa. Menurutnya, dia sendiri hadir ke balai polis untuk menyerahkan dompet tersebut.

Setakat ini, kedua-dua pihak masih mempertahankan versi masing-masing, manakala siasatan polis berhubung dakwaan kehilangan wang tunai RM10,000 itu masih diteruskan.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan