KUALA TERENGGANU, 18 Jun 2026: Dedikasi lebih tujuh dekad dalam menyebarkan ilmu al-Quran melayakkan Jusoh Ismail, 95, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1448H/2026M di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada Rabu.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai penghargaan terhadap jasa beliau yang mula terlibat dalam pendidikan agama sejak usia 22 tahun dan masih aktif mengajar al-Quran sehingga kini.
Jusoh berkata, usaha yang dilakukan selama ini hanyalah untuk mendidik masyarakat agar lebih dekat dengan al-Quran serta memahami kaedah bacaan dan tajwid yang betul.
Sepanjang penglibatannya, beliau pernah berkhidmat sebagai hakim Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan selama 22 tahun selain menjadi tenaga pengajar, penceramah serta penganjur kursus tajwid di seluruh negara.
Beliau yang kini menjawat jawatan Syeikhul Qurra’ ketiga Persatuan Qurra Terengganu sejak 2004 turut menasihatkan generasi muda supaya sentiasa mempelajari dan menghayati al-Quran kerana ia merupakan panduan hidup yang sempurna untuk dunia dan akhirat.
