KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026: Tindakan menggugurkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa menjadi petunjuk bahawa Pas sedang memperkukuh pengaruhnya dalam gabungan berkenaan sehingga berpotensi mengetepikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, mendakwa kecenderungan itu bukan perkara baharu, malah pernah dibayangkan oleh beberapa pemimpin Pas sebelum ini.
Menurutnya, beberapa tindakan dan kenyataan daripada anggota Lajnah Undang-Undang Pas serta jentera parti berkenaan turut memberi gambaran wujud usaha ke arah tersebut, termasuk menyulitkan proses pengeluaran watikah calon, memanfaatkan penguasaan dalam Majlis Tertinggi (MT) PN untuk menekan Bersatu dan mengenepikan peranan Majlis Presiden dalam membuat keputusan.
“Kasar permainan politik Pas ini. Hari demi hari, sedikit demi sedikit, Allah tunjukkan sikap autoritarian dan politik kotor Pas.
“Jika bukan pendekatan ke‘Mullah’an dan ke‘Talibanan’, mungkin mereka berpegang kepada prinsip Machiavellian yang menghalalkan apa sahaja cara demi mencapai matlamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tun Faisal turut menghuraikan kedudukan undi dalam MT PN ketika ini, dengan Bersatu dan Pas masing-masing memiliki enam undi, manakala Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masing-masing mempunyai tiga undi.
Beliau berkata, sekiranya berlaku pengundian dan MIPP memihak kepada Bersatu, gabungan itu akan memperoleh sembilan undi. Namun, jika Gerakan menyokong Pas, kedua-dua pihak akan terikat dengan sembilan undi dan keputusan akan ditentukan menerusi undi pemutus Pengerusi.
Menurutnya, pengguguran Mohd Radzi dan Mohamed Azmin didakwa bertujuan meningkatkan penguasaan undi Pas kepada lapan, selain mengurangkan undi Bersatu kepada empat.
“Dalam keadaan itu, walaupun MIPP menyokong Bersatu, jumlah undi hanya tujuh. Sebaliknya, jika Gerakan bersama Pas, mereka akan memperoleh 10 undi, tidak termasuk undi Pengerusi.
“Dengan kelebihan tersebut, Pas boleh menentukan apa sahaja keputusan yang diinginkan kerana mereka yakin memperoleh sokongan Gerakan,” katanya.
Bagaimanapun, Tun Faisal menegaskan Bersatu akan terus mempertahankan kedudukan dan kelangsungan PN walaupun berdepan pelbagai cabaran dalaman.
“Tetapi saya juga berharap rakan-rakan dalam Pas dapat membantu menghentikan kerakusan dan kegilaan ‘Kluster Publika’ dari dalam,” katanya.
