KUALA TERENGGANU, 4 Jun 2026: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan amaran tahap tinggi susulan peningkatan kes malaria dalam kalangan warga Rohingya di negeri ini.
Sektor Kawalan Penyakit Bawaan Vektor JKNT memaklumkan sebanyak 17 kes malaria direkodkan setakat ini dengan 10 daripadanya melibatkan jangkitan Plasmodium vivax dalam kalangan warga Rohingya kategori import.
Kes terbaharu dikesan di daerah Dungun dan Kuala Nerus.
Hasil siasatan mendapati kebanyakan kes dipercayai melibatkan individu yang memasuki negara ini secara haram dan maklumat berkaitan pergerakan mereka sukar diperoleh.
Sehubungan itu, semua hospital, klinik kesihatan dan klinik desa di Terengganu diarahkan mempergiat aktiviti saringan menerusi pendekatan Active Case Detection (ACD) dan Passive Case Detection (PCD).
Langkah tersebut termasuk menjalankan pemeriksaan terhadap warga Rohingya yang hadir ke fasiliti kesihatan termasuk ibu mengandung serta individu yang telah lama berada di Malaysia.
JKNT menegaskan tindakan segera perlu dilaksanakan bagi membendung penularan penyakit itu kepada masyarakat setempat.
