TANAH MERAH, 27 Oktober 2026: Bermula sebagai pekerja kebun sayur yang pernah bergantung kepada ihsan penduduk kampung, seorang lelaki etnik Røhingyⱥ kini didakwa berjaya mengusahakan ladang sirih melebihi dua hektar di Kampung Bechah Laut, di sini.
Lebih mengejutkan penduduk, lelaki yang mula memasuki kampung itu kira-kira 20 tahun lalu kini dikatakan memiliki beberapa jenis kenderaan termasuk lori, van, kereta dan motosikal.
Seorang penduduk, Hussin, 65, berkata lelaki terbabit pada awalnya hidup dalam keadaan serba kekurangan sehingga penduduk setempat sering membantunya dengan memberikan makanan dan sumbangan.
Menurutnya, kehidupan lelaki itu berubah selepas berjaya mengusahakan ladang sirih berkenaan kira-kira tiga tahun lalu, selain menggaji puluhan pekerja daripada komuniti sama dan penduduk tempatan.
Hussin berkata, lelaki itu pernah memaklumkan kepadanya bahawa hasil jualan sirih boleh mencecah RM10,000 setiap kali bekalan dihantar ke luar Kelantan.
Selain mengangkut hasil tanaman, lori yang dimilikinya turut digunakan untuk membawa pasir bagi menambah sumber pendapatan.
Hussin menyifatkan lelaki itu sebagai seorang yang rajin berusaha, malah kawasan hutan sebelum ini berjaya dibangunkan menjadi ladang sirih yang tersusun.
Beliau turut mendakwa pembelian kenderaan tertentu dipercayai menggunakan nama penduduk tempatan, yang juga bekerja sebagai pemandu lori dan van.
Ladang sirih itu dibangunkan di kawasan berbukit dan agak terpencil sehinggakan ada penduduk setempat yang tidak mengetahui kewujudan lokasi berkenaan.
Ladang itu dibina dengan para kayu disusun teratur sebagai tempat tanaman menjalar. Kawasan berkenaan turut mempunyai dua bangsal yang dipercayai digunakan untuk menyimpan baja.
Tanah tersebut dipercayai disewa daripada penduduk kampung dengan bayaran mencecah ribuan ringgit, manakala hasil sirih dipasarkan ke beberapa lokasi di luar Kelantan termasuk Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Seorang lagi penduduk, Yazid, 45, berkata kenderaan yang digunakan lelaki terbabit berbeza mengikut urusan, termasuk kereta dan motosikal untuk kegunaan harian serta van ketika membawa hasil tanaman.
Bagaimanapun, Yazid berkata komuniti berkenaan setakat ini tidak mengganggu penduduk kampung kerana mereka hanya menyewa tanah di kawasan itu dan menetap di daerah lain.