Ladang sireh libatkan 30 pekerja Røhịngyⱥ, penduduk tempatan jadi pemandu lori dan van

May be an image of text 

TANAH MERAH, 26 Oktober 2026: Kira-kira 30 pekerja etnik Røhịngyⱥ dipercayai mengusahakan sebuah ladang sireh seluas lebih dua hektar di Kampung Bechah Laut di sini sejak tiga tahun lalu, dengan penduduk tempatan turut bekerja sebagai pemandu lori dan van untuk membawa hasil tanaman ke luar Kelantan.

Ladang yang terletak di kawasan terpencil dan berbukit itu dipercayai dibangunkan di atas tanah sewaan penduduk kampung, manakala hasil sireh dipasarkan ke beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Tinjauan mendapati kawasan ladang berkenaan mempunyai para kayu yang disusun teratur serta dua bangsal yang dipercayai digunakan untuk menyimpan baja.

Bagaimanapun, kawasan itu didapati lengang ketika tinjauan dilakukan, dengan penduduk memaklumkan pekerja berkenaan sudah lebih seminggu tidak memasuki ladang kerana keadaan yang dikatakan agak tegang susulan operasi pihak berkuasa.

Ladang dan bangsal berkenaan juga didapati sudah disita Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) sehari sebelum tinjauan dilakukan. Notis yang ditampal di lokasi menyatakan pemilik tanah dipercayai melanggar syarat penggunaan tanah yang sepatutnya ditanam dengan getah.

Penduduk, Hussin, 70, berkata seorang lelaki daripada komuniti berkenaan pada awalnya memasuki kampung itu sebagai pekerja penanam sayur sebelum dipercayai menjadi pengusaha ladang sireh berkenaan.

Katanya, sebelum ini dia hampir setiap hari terserempak dengan pekerja ladang, namun keadaan berubah sejak kira-kira seminggu lalu apabila kawasan itu semakin lengang.

Menurutnya, kehadiran komuniti berkenaan setakat ini tidak mengganggu penduduk kerana mereka kebanyakannya bergaul sesama sendiri. Namun, beliau bimbang jumlah mereka akan terus bertambah sekiranya lebih banyak tanah disewakan.

Seorang lagi penduduk, Yaakob, 60, berkata dia mengetahui kewujudan ladang itu tetapi tidak berani mendekatinya kerana lokasinya jauh dari kediaman penduduk.

Beliau berharap pemilik tanah lebih berhati-hati sebelum menyewakan tanah kepada warga asing bagi mengelakkan masalah pada masa hadapan, meskipun komuniti berkenaan dipercayai hanya menyewa tanah untuk mengusahakan tanaman dan tidak menetap di kampung itu yang mempunyai lebih 1,000 penduduk.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan